Oleh Muhammad Zaidee Daut
bhnews@bharian.com.my
2010/08/14
Tiga maut ribut di bazar jualan Jasin
JASIN: Tiga terbunuh manakala 18 cedera apabila khemah bazar Ramadan di perkarangan Stadium Jasin, di sini, roboh dan diterbangkan ribut, kira-kira jam 4.40 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, tiga yang maut ialah peniaga cendol, Abdul Omar, 70, dari Batu 16, Kampung Ayer Merbau, peniaga kuih, Mahadi Mohamad, 40, kelahiran Jerteh, Terengganu yang kini menetap di Batu 15 Ayer Merbau dan seorang pengunjung, Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim, di sini.
Beliau berkata, Abdul meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dipercayai dihempap palang besi khemah yang diterbangkan ribut, Mahadi meninggal di Hospital Jasin, manakala Muhammad yang juga cedera di kepala meninggal di Hospital Melaka kira-kira jam 7 petang.
Seorang daripada 18 yang cedera Zaini Rasap dihantar ke Hospital Putra di bandar raya dan selebihnya mendapat rawatan di Hospital Jasin.
Mangsa lain yang cedera yang kebanyakannya peniaga ialah Azaraie Adzahar; Rosidah Rasul; Norazli Mohd Zaid; Muhammad Amir Limat; Norizin Othman; Norizlin Othman; Nurazidah Md Aleh; Hakiki Shahrul, Norashikin Idris; Gool Muhammad Ab Latip, Jamal Hisham Yahaya; Farah Alwani Othman; Mohd Norizan Mohd Amin; Mohd Shahrul Shaharudin; Norfara Damia, Norhaizan Hussein dan Noraizam Abu Bakar.
Tiga daripada yang cedera Nurazidah dan Norhaizan dimasukkan ke wad pemerhatian, manakala Norashikin yang mengandung dimasukkan ke wad bersalin dan selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.
Ketika kejadian kira-kira 80 peniaga baru memulakan operasi dan pengunjung masih belum ramai.
Seorang peniaga kuih, Siti Nuriza Md Zin, yang terselamat berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga menyebabkan peniaga dan pengunjung tidak sempat berbuat apa-apa.
Sebelum kejadian katanya, kebanyakan peniaga sedang memasang khemah masing-masing untuk memulakan perniagaan mereka.
Sebelum
“Angin kencang berlaku tiba-tiba... tiada sebarang tanda ribut akan melanda. Saya sempat melihat beberapa peniaga cuba menahan khemah masing-masing tapi kebanyakannya terlepas kerana angin kencang.
“Akibatnya banyak khemah peniaga berterbangan di udara, termasuk diterbangkan angin melebihi ketinggian lampu limpah di Stadium Jasin sebelum jatuh kembali di kawasan bazar ini dan mungkin menimpa peniaga dan pengunjung hingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Selepas
Seorang lagi peniaga, Ezil Maizan, bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu, tetapi sedih dengan kehilangan rakan baiknya, Abdul Omar.
“Ketika hari pertama berniaga, arwah Abdul ada memberitahu saya bahawa inilah tahun terakhir dia berniaga di bazar ini selepas 14 kali Ramadan. Ungkapan itu rupa-rupanya menjadi kenyataan pada hari ini (semalam),” katanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam melawat keluarga mangsa yang meninggal malam tadi.
Sumber berita dan komen menarik
di bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment