Pages

August 15, 2010

Puasa warga emas

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


RUTIN berpuasa daripada terbit fajar hingga matahari terbenam sepanjang Ramadan dirasakan sangat mencabar oleh sesetengah individu seperti warga emas yang mempunyai keperluan khas.

Bagi individu yang bergantung pada pengambilan ubat-ubatan, mereka berhadapan cabaran untuk memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik terutama bagi pesakit diabetes dan darah tinggi.

Pengalaman Kamariah Zaki, 66, yang bergantung pada ubat darah tinggi sedikit sebanyak memberi gambaran terhadap cabaran yang perlu dilalui pesakit hipertensi ketika berpuasa.

Jelas Kamariah, ada masanya tubuhnya berasa tidak selesa selain perasaan risau diserang tekanan darah tinggi secara tiba-tiba.

“Nak makan ubat, (tetapi) berpuasa. Tak makan ubat, takut sakit datang tiba-tiba,” katanya yang menetap di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan terkini membolehkan dos ubatan yang perlu diambil pesakit diselaraskan sepanjang waktu berpuasa.

“Tetapi untuk tahun ini, pakar perubatan mengubah dos ubat dan waktu pengambilan. Jadi, saya hanya perlu ambil ubat pada waktu sahur dan semasa selepas berbuka,” ujarnya.

Mengulas dilema yang dihadapi pesakit seperti Kamariah, Pakar Perunding Perubatan dan Geriatrik, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Rajbans Singh berkata, berpuasa adalah satu mekanisme terbaik sistem tubuh untuk kembali muda.

“Melalui berpuasa, tubuh akan mengeluarkan toksin dan memperbaiki sel, tisu serta organ dengan lebih sistematik, mudah dan selamat,” katanya

Jelas beliau, kebergantungan warga emas terhadap ubatan secara teorinya akan menjadi lebih minimum melalui proses peremajaan tersebut.


Dos
Pencapaian perubatan moden kini membolehkan warga emas meneruskan ibadat puasa dengan lebih mudah, bagaimanapun mereka perlu mengetahui tahap keuzuran diri, kata Rajbans.

Ujarnya lagi, bagi mereka yang bergantung dengan ubat-ubatan seperti pesakit darah tinggi, diabetes dan jantung, penyelarasan dos ubat perlu dilakukan beberapa minggu sebelum berpuasa.

“Ini memberi peluang kepada tubuh untuk menyesuaikan diri dengan perubahan waktu makan ubat serta dos ubatan yang mungkin dinaikkan,” katanya.

Jelas Rajbans, pesakit tidak perlu bimbang mengenai perubahan ubat kerana sekarang kebanyakan ubat hanya untuk dimakan sebanyak dua kali sehari.
Malah, peningkatan dos juga jarang memberi impak terhadap kesihatan warga emas memandangkan perubahan itu adalah kecil.

Di samping itu, amalan minum air yang banyak perlu dilakukan ketika bersahur. Tetapi tegas Rajbans, minuman bergas atau manis harus dielakkan

TEKNOLOGI terkini bidang farmasi dan perubatan membolehkan dos serta waktu ubat 
diselaraskan mengikut keperluan tubuh pesakit.


“Jenis minuman ini akan hanya mempercepatkan proses dahaga dan dehidrasi terutama warga emas yang gemar melakukan aktiviti di luar rumah,” tegas Rajbans.


Beliau turut menasihatkan warga emas agar mengurangkan aktiviti yang memerlukan mereka berjemur seperti berkebun.

Selain faktor tersebut, Rajbans mengingatkan bahawa pengambilan jenis dan kuantiti makanan sewaktu berbuka sangat penting.

“Sebaik-baiknya kita makan dengan kadar sederhana. Elakkan makanan berminyak dan manis kerana perut sudah kosong hampir 12    jam.       

“Sekiranya berlebihan, ia akan memberi kesan kesihatan untuk berpuasa lagi pada keesokan hari seperti senak perut, sakit ulu hati serta keletihan,” kata Rajbans.

Untuk itu, warga emas perlu menambah buah-buahan dan sayuran dalam pemakanan ketika berbuka.
Elemen itu penting untuk menyimpan tenaga dan sekali gus membuatkan tubuh lebih bertenaga untuk berpuasa.

Menyentuh mengenai ubat-ubatan alternatif, ujar Rajbans, selain penyelarasan dos dan waktu, penggunaan pelekat khas juga boleh membantu.

“Bagi pesakit jantung, mereka boleh menggunakan pelekat khas sebagai ganti ubat secara oral.
“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kerisauan mereka terhadap serangan jantung,” katanya.

kosmo.com.my 

0 comments: