Pages

August 15, 2010

Jangan cepat terpedaya dengan slogan

Oleh- Tan Sri Abdullah Ahmad

Demi keadilan. Awal bulan puasa. Walaupun ramai tidak senang, kecewa dengan situasi kini ada juga kebaikannya – bergantung dengan siapa anda bercakap dan berinteraksi. Dalam kehidupan kita harus mengikut peredaran zaman. Orang Melayu hanya bagai satu titik air dalam lautan ummah yang berjumlah mutakhir 1.6 bilion di seluruh dunia, majoritinya bukan di dunia Arab tetapi di Asia bahkan lebih ramai ummah dari jumlah seluruh negara Arab bermastautin di Asean. Syarikat-syarikat mega antarabangsa sudah sedar potensi konsumerisme, kuasa konsumer atau membeli-belah ummah, dan di Malaysia kemampuan konsumer Bumiputera justeru mereka telah mencuba mendapat sokongan, memikat, mengurat gaya hidup dan stail ummah. Dalam politik antarabangsa pun baru disedari betapa penting memenangi minda dan hati ummah. Di Malaysia pula, mereka yang bijak insaf. Tetapi ada juga yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu sedar atau pun tidak peduli sebab motif sempit politik mereka.

Apa yang ingin diperkatakan ialah jangan mudah dan cepat tertipu dengan appearance. Memang kulit buku/kitab/majalah lazimnya lebih tebal dan menarik daripada halamannya. Begitulah juga dengan manusia, jangan kita cepat terpedaya, terpujuk, teryakin dengan rupa, pakaian, pangkat, lidah dan janji. Apa yang tampil di khalayak ramai.

Apa lagi pada Ramadan, rakyat Malaysia lahiriah senang, gembira, bekerja kuat juga seronok, kata Speaking ‘they work hard and they have fun!’. Mitos ini sudah lama lahir. Lazimnya mitos, terutama yang baik, berasas pada kenyataan. Pada keseluruhannya rakyat kita suka bicara siasah dan aktivis politik. Dalam pilihan raya umum 2008, pengundi berpecah dua belah, hampir sama antara penyokong kerajaan dan penentangnya. Oleh kerana kita mengamalkan sistem demokrasi cara British – siapa sampai dulu – menang. BN kekal memerintah di pusat walaupun kalah di Selangor, Perak (dirampas kembali melalui lompatan), Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang dan undi popular pun hampir sama. Konsolusi bagi pembangkang , BN gagal mempertahankan rekod dua pertiga mereka di Parlimen kali kedua semenjak merdeka. Pakatan Rakyat telah berkempen dan meyakini bagai memberi bantal kepada pengundi yang mengantuk. BN pula telah dilenakan oleh kemenangan hebatnya dalam pilihan raya umum 2004.

Dalam PRU 13, kalau BN mahu menang dan PR tidak ingin tewas kedua-dua harus fighting fire with fire, yakni kedua-dua harus membentuk satu pasukan, satu nukleus baru untuk menawan sokongan pengundi, terutama mereka yang mengundi kali pertama. Belajarlah kedua-dua belah dari kesilapan 2008.

Masa kemuka berkisar pada kesuburan atau tidak ekonomi. jurang taraf hidup makin meluas antara kaum, antara wilayah dan antara sesama kaum; kesukaran mendapat pekerjaan, perumahan dan kebangkitan semangat perkauman yang sempit; walaupun pendidikan merebak dan meningkat hakikatnya kita mengalami, suka duka, ‘a low literacy and intellectual level’, lebih teruk penguasaan bahasa Inggeris lemah dan BI adalah bahasa ilmu! Keadaan sosioekonomi, kemiskinan, kesihatan dan lain-lain masih menjadi isu yang hangat seperti juga keadilan dan keselamatan. Kenapa? Monopoli kuasa, rasuah, tiada ketelusan (transparency) atau ketiga-tiganya?

Apakah agenda kita selepas PRU 13? Kalau BN terus berkuasa 1Malaysia berleluasa dan Model Ekonomi Baru, dengan kebaikan dan keburukannya. PR pula apa? Membangun Melalui Islam, Malaysian Malaysia atau kombinasi kedua-dua campur manifesto keadilan? Rakyat mahu, tegas Speaking, ‘the government to focus on just one goal until the next polls: jump-starting the economy.’ Saya gembira melihat ramai graduan kita, tetapi di mana kerja yang munasabah untuk mereka sekarang dan akan datang? PR pula mesti meyakini pengundi yang ia boleh memerintah dengan adil dan baik di negeri-negeri ia kuasai. Jangan hanya bergantung pada kemarahan dan kebencian pengundi kepada BN. Contoh yang baik daya penarik.

Kalau anda baca dan menonton media perdana, kedudukan BN selesa! jika membaca dan menonton media bukan perdana, PR sedang mara ke Putrajaya! Apa yang saya tahu, ramai Bumiputera kecewa kerana padang permainan (baca ekonomi dan bisnes) tidak sama rata, lebih menguntungkan bukan Bumiputera. Pemodal-pemodal mega didengar oleh kerajaan lebih daripada sungutan-sungutan rakyat. Pemodal di mana pun dalam sistem kapitalisme mempunyai lebih suara dan perlindungan daripada rakyat biasa. Bukan Bumiputera pula mahu Malaysian Malaysia yakni seperti Malayan Union yang ditolak oleh orang Melayu 65 tahun dahulu. Di bawah Malayan Union, semua rakyat tanpa kira bangsa dan agama serupa sahaja, mempunyai peluang dan hak sama dalam perkhidmatan awam.Sekarang semangat atau hantu Malayan Union kembali mengusik-ngusik UMNO dan Melayu-Islam! Inilah tanggapan saya kenapa Dr Mahathir Mohamad, Perkasa dan NGO-NGO Melayu timbul dan membela status quo – kerana parti-parti politik Melayu dan Islam khasnya UMNO gagal melindungi dengan berani hak-hak keistimewaan Melayu dan Islam. A Kadir Jasin menegaskan secara ringkas, ‘ini semua kesalahan orang Melayu sendiri kerana mereka tidak celik sejarah dan mempunyai rendah diri yang keterlaluan, dan amat mudah digula-gulakan dengan pujian dan pujuk rayu hingga ketuanan dan hak mereka mengikut perlembagaan dan undang-undang pun menjadi seolah-olah bukan hak mutlak mereka lagi! Sekarang pula, mereka digula-gulakan dengan impian pendapatan tinggi per kapita (pendapatan pukul rata) daripada RM23,000 sekarang kepada RM49,000 menjelang akhir dekad ini’. Berapa ramai Bumiputera sekarang dan bakal menikmati Model Ekonomi Baru? Kesimpulan Kadir: andainya Melayu tidak bertindak mengatasi afiliasi dan taat setia kepartian mereka menanti rebah, punah dan musnah!

Perjuangan bukan Melayu konsisten Malaysian Malaysia. Mereka gagal pertengahan 1940-an, nyaris-nyaris berjaya 1969, separuh sukses dalam tahun 2008. Iltizam, falsafah, ideologi dan nilai moral bukan Melayu, seperti Yahudi, kuat dan keras. Mereka akan terus berjuang sehingga berjaya sepenuhnya. Setiap golongan berhak merealisasikan idamannya. Kemungkinan mereka berjaya lebih awal lagi dengan bantuan sekutu-sekutu mereka, dalam dan luar negeri.

Sebelum peristiwa 13 Mei 1969, kawasan-kawasan di ibu kota mengikut kaum. Selepas itu kerana dasar Tun Razak ‘kawasan campuran’ diwujudkan bagi mengelakkan itu daerah Melayu, itu mukim Cina dan itu kampung India. Oleh kerana jurang ekonomi meluas, makin meluas dan meningkat, tidak mustahil perumahan-perumahan mewah, kondominium mega mewah dan sekolah-sekolah jenama dan eksklusif akan didominasi oleh satu kaum tertentu sahaja. Jika ini berlaku, satu petanda yang tidak baik dalam satu negara yang penduduknya majmuk. Saya seorang pendukung ‘ethnic integration policy’ dalam perumahan, kondominium, persekolahan, sukan dan lain-lain aktiviti kehidupan. Inilah transformasi yang mesti dilaksanakan sepenuhnya selain daripada reformasi ekonomi segera boleh sebelum meletupnya politik!

sinarharian.com.my 

0 comments: